Semua pelajar Malaysia di Maghribi berganding tangan menganjurkan "Hari Malaysia" di Universiti Hassan Dua, Mohammedia, Maghribi dari 21-22 Februari 2008. Program yang julung kali dianjurkan di institusi pengajian tinggi di Maghribi oleh Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Rabat dan juga Universiti Hassan Dua, Mohamedia telah cuba mempromosikan Malaysia sebagai sebuah negara moden dan dinamik menerusi pameran pelancongan, pendidikan, kraftangan dan juga perdagangan. "Hari Malaysia" telah dirasmikan oleh Duta Besar Malaysia di Rabat, TYT Othman Samin. Naib Presiden Universiti, Prof. Dr. Nabil Bencha Kroun hadir mewakili Presiden Universiti, Prof. Dr. Rahma Bourqia. Encik Shushili Azam Shuib dari Pusat Promosi Pendidikan Malaysia di Dubai telah membuat persembahan dalam Bahasa Arab mengenai pendidikanMalaysia. Turut hadir ialah En. Mohd Puat Yusof , Pemangku Pengarah, Jabatan Penuntut Malaysia di Kaherah.
2. Gerai pameran dikerumuni oleh para pelajar universiti selama dua hari dan dewan penuh sesak bila para pelajar membuat persembahan kebudayaan Malaysia. Antara yang dipersembahkan ialah tarian zapin, pencak silat, peragaan pakaian Malaysia, nasyid dan dikir barat.