Seramai 32 orang rakyat Malaysia yang terdiri daripada para pelajar yang sedang melanjutkan pengajian di universiti-universiti di Maghribi dan kakitangan Kedutaan telah mengambil bahagian dalam Hari Sukan Negara 2015 yang telah diadakan di perkarangan pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Rabat pada 10 Oktober 2015. Program telah dimulakan pada 9.30 pagi dengan senamrobik selama setengah jam diketuai oleh wakil pelajar. Seterusnya para peserta yang dibahagikan dalam lima kumpulan telah mengambil bahagian dalam acara sukaneka. Para peserta telah menunjukkan kerjasama yang baik serta semangat setiakawan yang tinggi. Hadiah telah disampaikan oleh Cik Salfarina Salim, Penasihat Kedutaan kepada kumpulan yang telah memenangi tempat pertama, kedua dan ketiga dalam acara-acara sukaneka tersebut sebagai penghargaan kepada mereka yang telah menjayakan Hari Sukan Negara 2015.