Mission News

Rakyat Malaysia Di Morocco Turut Merayakan Hari Keputeraan SPB Yang di Pertuan Agong

04 June 2007 1 views

Rakyat Malaysia di Morocco turut merayakan Hari Keputeraan SPB Yang di Pertuan Agong pada 2hb Jun 2007 di Kediaman Rasmi Duta Besar. Pelajar Malaysia di Rabat, Mohamedia, Casablanca, Marakesh dan Kenitra merupakan majoriti yang hadir. Turut memeriahkan majlis ialah Y.Bhg. Dato' Ahmed Faycal El Kadiri, Konsul Kehormat Malaysia di Casablanca dan keluarga. TYT Othman Samin, Duta Besar menyampaikan ucapan di majlis tersebut.

 

 

 

 

TEKS UCAPAN
HARI KEPUTERAAN SPB YANG DI PERTUAN AGONG
DI KEDIAMAN RASMI
PADA 2 JUN 2007 (SABTU) JAM 4:00 PETANG
 
Assalamualaikum (w.r.b.),

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat datang ke teratak saya “Rumah Malaysia” yang masih tidak sepertinya ini.  Walaupun teratak ini dalam serba kekurangan hati saya sentiasa besar menerima kedatangan tetamu pada bila-bila masa, apatah lagi pada hari-hari bersejarah seperti hari ini, hari Keputeraan Raja kita, Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Pintu rumah ini dan juga pintu Kedutaan Besar Malaysia di Rabat sentiasa terbuka menerima kedatangan anda sekelian bukan sahaja bagi mengadu hal tetapi juga untuk bertukar-tukar pendapat dan pandangan demi keakraban hubungan sesama kita.
 
2.             Ini adalah pertemuan saya yang pertama dengan rakyat Malaysia di Rabat dalam kumpulan yang besar sempena hari perayaan hari Keputeraan Yang di Pertuan Agong. Saya bangga dengan komitmen yang ditunjukkan semua, melambangkan bahawa kita perihatin dan cinta akan institusi yang di Pertuan Agong. Institusi ini perlu dijulang dengan megah. Keunikan institusi ini terus menjadi lambang perpaduan dan tamaddun melayu. Kita semua bertanggungjawab memelihara kegegahannya. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat menyambut hari Keputeraan SPB Yang di Pertuan Agong.
 
3.             Pertemuan begini jangan dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa sesuatu yang wajar dikenang dan difikirkan bersama untuk kebaikan kita bersama.  Kita harus mencari intisari pertemuan seperti ini. Sama hakikatnya bila setiap tahun kita merayakan hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad. Apakah kita mengambil ikhtibar dari perayaan dan pengajaran Muhammad. Yang kita nampak ialah kita sebagai umat berbudi mengenang pemimpin agong yang sudah pergi, tetapi apakah nilai-nilai murni yang diturunkan Muhammad itu dikeramati. Mengapa umat Islam terus terpinggir mengigit jari. Jadi pertemuan ulung ini wajar dijadikan pertemuan yang bijaksana bagi kita. Walaupun kita akan makan, tetapi apakah santapan jiwa yang kita perolehi di sebalik pertemuan ini.
 
 4.             Pada pertemuan hari ini saya ingin mengingatkan kepada semua rakyat Malaysia di sini bahawa pada tahun ini negara kita genap 50 tahun merdeka. Kita hanya lebih muda setahun dari Morocco. Berbanding dengan kebanyakan negara yang merdeka sekitar penghujung tahun 50an, kita agak jauh melonjak. Kita disegani dan dicontohi. Kita berada megah dalam peta pembangunan dunia. Namun begitu kerja-kerja pengisian kemerdekaan masih berjalan dan masih ada kekurangan. Masih banyak lagi semangat baru yang perlu disuntik. Masih ada segmen penduduk yang perlu dibela.  Masih ada lagi banyak hal kita belum “Merdeka”.  Tiga belas tahun lagi, kita pula akan menjadi sebuah negara industri maju mengikut acuan sendiri. Kita tidak akan meniru mana-mana negara maju hari ini. Kita mahu ikut cara kita sendiri, sekurang-kurangnya sebagai sebuah negara Islam dinamik dan sebuah negara berbilang kaum yang aman dan makmur. Persoalannya sekarang apakah kita bersedia untuk menjadi warganegara maju pada tahun 2020. Bersedia atau tidak kita terpaksa harungi fasa ini dengan kebanggaan diri dan tanggongjawab. Kita mestilah menyiapkan diri dengan satu keterampilan baru yang mengadun ilmu dan budi, agama dan teknologi. Saya percaya jika kita adun bersama rencah-rencah ini dalam diri kita, dalam pembangunan kita, menjelang tahun 2020 kita akan mendokong watak dan wajah baru, iaitu satu keperibadian yang sesuai sebagai warganegara maju. Ini hanya pendapat peribadi saya. Kita mesti membentuk diri kita mengikut rasa hati kita.  Secara sepintas lalu, apa yang tidak sedap pada mata dan hati kita yang didokong oleh rakyat negara-negara maju sekarang janganlah kita teladani. Segala-galanya mengikut cara kita. Cuma kita agak bimbang dengan perjalanan kita ke destinasi.  Ini kerana pengaruh internet yang sentiasa menyerang kita dengan pelbagai unsur negatif. Kita boleh leka dengan budaya internet ini. Kita juga sentiasa tersasar akan kesan-kesan negatif globalisasi. Sebenarnya kita tidak boleh menahan perkembangan ini. Kita hanya perlu pandai mengurus diri kita supaya kita tidak dihantui oleh internet dan juga globalisasi. Maka di sinilah jati diri itu penting. Keterampilan rakyat Malaysia yang baru menjelang 2020 akan menjadi kubu penangkis setiap cabaran yang timbul. 
 
5.             Masa bergerak pantas. Semua pelajar khususnya dan semua rakyat Malaysia umumnya wajar membawa diri berfikir, mengenali diri sendiri dan mencari kekuatan diri yang selama ini terselindung. Sekarang anda berada di fasa begitu produktif. 13 tahun lagi pun, anda masih dalam fasa yang sama. Orang yang berumur 33 - 35 tahun selalunya sudah selesa. Anda sebagai penyaksi utama realisasi Wawasan 2020 tentunya bangga kerana dapat menyumbangkan kepada pembangunan negara ketika itu. Ilmu agama yang dipelajari di sini, Bahasa Arab yang dikuasi dan pengalaman hidup di Morocco sepatutnya menjadi rencah mengukuhkan keterampilan diri nanti. Ada sesetengah orang sudah menjadi jutawan pada umur awal 30’an. Menjadi jutawan merupakan satu penanda aras yang wajar kita gunakan untuk mengukur diri. Bunyinya terlalu unggul, tetapi boleh dicapai, dalam membina masa depan sasaran kita perlu tinggi tetapi kita mahu menjadi jutawan yang dermawan, orang kaya berhati mulia. Seorang usahawan yang berwawasan. Inilah nilai-nilai yang dapat saya garap yang sepatutnya menjadi watak kita sebaik sahaja kita menjadi warga baru negara maju, Malaysia. 
 
6.             Pemimpin kita telah menetapkan wawasan bagi negara dan rakyat. Selepas kita melepasi 2020, kita terpaksa menghadapi wawasan 2057 pula, iaitu 50 tahun dari sekarang. Setiap individu khususnya rakyat Malaysia yang muda seperti anda sekelian sepatutnya mempunyai wawasan sendiri, satu wawasan yang tidak tinggi menggunung tetapi mampu direalisasikan mengikut kehendak zaman: iaitu kaya ilmu, tinggi inteleknya, perkasa ekonomi dan kuat agamanya. Wawasan peribadi kita wajar mengambilkira orang-orang tersayang dalam hidup kita. Kita menjadi orang seperti hari ini juga kerana orang lain. Ikut sahaja konsep zakat.  2.5 peratus dari apa yang kita kumpulkan dan wawaskan adalah untuk orang lain. Jika konsep ini menjadi tunggak wawasan setiap orang, kita sebenarnya memilih langkah untuk memakmurkan ummah khususnya orang-orang tersayang dan mereka yang berhampiran kita. 
 
7.             Begitulah apa yang ada dalam fikiran saya pada hari ini yang hendak saya kongsi dengan anda sekalian. Saya ingin memberi makna kepada perayaan ini kerana majlis ini mesti dianggap sebagai sessi ilmu, sessi mencambah buah fikiran sekurang-kurangnya untuk menjadi bekalan bila pulang nanti. Bila kita bertemu lagi dilain kesempatan, kita mengasah fikiran kita lagi mencari buah fikiran bernas untuk tatapan dan santapan bersama.   Kita harus menggunakan setiap kesempatan untuk mengenali sesama sendiri supaya kita tak ubah seperti keluarga besar, sama-sama menjunjung nama baik negara dan memelihara imej negara. Kita akan berasa puas jika kita dapat manfaatkan nilai ini, di samping membawa pulang segulung ijazah untuk tatapan ibu tercinta. 
 
Saudara-saudari sekelian,
 
 8.             Menapak ke destinasi 2020 bukannya susah. Cabarannya hanyalah bagaimana kita mengurus diri sendiri untuk menjadi warga sebuah negara maju.  Malanglah jika ada di antara kita yang masih kelabu atau samar-samar akan arah yang hendak kita tuju. Saya rasa hanyalah Malaysia sahaja negara yang telah menyediakan laluan jelas bagi rakyatnya. Kita mesti sokong usaha ini dan kita mesti bersyukur kerana berada dalam aman sentosa dan keadaan sentiasa diambil berat oleh pemerintah.
 
9.             Berdagang atau bersemenda di rantau orang, apatah lagi untuk mencari ilmu, adalah satu peluang keemasan. Kita berpeluang untuk menimba ilmu dan pengalaman, peluang untuk berdikari dan peluang untuk mengukur diri sendiri. Sepatutnyalah kita menjadi warganegara yang lebih baik dan matang dan lantas laluan kita untuk menjadi warganegara, negara maju menjadi lebih mudah. Kita mahu orang melihat kita sebagai bangsa yang kuat bekerja dan bermaruah tinggi, berilmu dan berbudi mulia, menjunjung agama dan mendokong budaya bangsa. Maka barulah kita layak untuk mengakui sebagai warga negara maju. 
 
10.           Inilah secebis harapan saya sebagai ketua di sini. Sempena hari Keputeraan Raja kita, marilah kita menjadi satu keluarga besar yang sentiasa mencari jalan mengakrabkan hubungan, menyemai bibit-bitit cinta akan negara dan seterusnya memperkasakan setiap usaha ke arah mencapai Wawasan 2020. Insyallah. Akhir sekali izinkan sekali lagi saya dengan lafaz bismillah hirrahman nirahim, mengucapkan selamat menyambut hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong. Hingga bersua lagi dilain pertemuan,  terima kasih.
 

TARIKH: 1 JUN 2007

 

Share:
Link copied to clipboard
Back