Kuota haji kekal
KUALA LUMPUR 7 Jun - Kerajaan akan mengekalkan kuota haji pada tahun ini sebanyak 27,000 orang walaupun terpaksa menanggung kos yang tinggi ekoran daripada pelupusan tempat penginapan di hotel-hotel berhampiran kawasan Masjidil Haram di Mekah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kira-kira 500,000 katil penginapan telah dilupuskan ekoran daripada projek pembesaran di kawasan persekitaran masjid itu.
"Kadar kos sewaan penginapan pada tahun ini juga meningkat sebanyak 300 peratus berbanding sebelum ini kerana kita terpaksa menyewa tempat penginapan baru bagi jemaah haji kita.
"Tempat penginapan baru yang disediakan terletak kira-kira 800 meter dari kawasan Masjidil Haram," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis konvokesyen Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden PSSCM, Ishak Hitam dan Naib Presidennya, Maideen Kadir Shah.
Ahmad Zahid berkata, tambang haji pada tahun ini juga akan dikekalkan walaupun kerajaan terpaksa menambah perbelanjaan sebanyak RM2,800 bagi setiap jemaah haji yang menunaikan haji.
"Pada tahun ini kita menjangkakan sejumlah 27,000 jemaah haji akan ke sana bagi menjalankan ibadah haji," tambahnya.
Beliau berkata, kerajaan juga sedang berbincang untuk menambah subsidi bagi setiap jemaah haji serta berusaha mengekalkan tambang haji pada masa akan datang.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan Arab Saudi turut meminta Malaysia untuk menambah bilangan pakar perubatannya bagi menjamin kesihatan jemaah haji negara ini di sana.
"Sebelum ini kita hanya menyediakan sejumlah enam orang pakar perubatan. Kita akan menambah bilangan itu pada masa akan datang," katanya.