PEMAKLUMAN:
Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh ingin mengingatkan semua rakyat Malaysia yang berhasrat untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini agar memastikan mereka memiliki visa/permit Haji yang sah sebelum memulakan perjalanan ke Arab Saudi.
Kerajaan Arab Saudi telah mengeluarkan arahan tegas bahawa hanya individu yang memiliki visa/permit Haji yang sah sahaja dibenarkan berada di Makkah mulai 24 Mei 2024 bagi menunaikan ibadah haji. Mana-mana individu yang didapati tidak memiliki visa/permit Haji yang sah akan dikenakan denda sebanyak SR10,000 dan akan dihantar pulang ke negara asal (tanpa sempat menunaikan haji), selain disenarai hitam dari memasuki negara ini.
Justeru, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh sekali lagi menasihati semua rakyat Malaysia agar mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan membatalkan hasrat menunaikan ibadah haji tanpa visa/permit Haji yang sah (seperti visa Pelancong/Umrah dan sebagainya).
Kami ingin mengingatkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh tetap sedia membantu rakyat Malaysia di Arab Saudi. Namun, mereka yang melanggar peraturan dan undang-undang negara ini perlu bersedia untuk menghadapi sepenuhnya tindakan undang-undang yang dikenakan.
Sekiranya terdapat pihak-pihak yang menawarkan pakej haji selain pengelolaan Tabung Haji, Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh menyarankan anda membuat semakan dengan pihak Tabung Haji terlebih dahulu.
Sekian, untuk makluman.
Kedutaan Besar Malaysia
Riyadh

