Pada 1 hingga 2 Ogos 2025, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah mengambil bahagian dalam "ASEAN Week 2025" yang dianjurkan oleh Prince of Songkla University (PSU), Kampus Hat Yai, Thailand. Bertemakan "Songkhla City of Gastronomy: ASEAN Dish – Touch & Taste", acara tahunan ini telah memasuki edisi ke-12 dan diadakan di Padang Serbaguna Kafeteria Rong Chang, PSU. Program ini menghimpunkan perwakilan dari negara ASEAN dan komuniti tempatan untuk bersama-sama meraikan kekayaan budaya, kepelbagaian warisan kulinari serta seni tradisional rantau ini, sekali gus memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat serantau, khususnya generasi muda.
Dalam program ini, penyertaan Konsulat Jeneral Malaysia menonjol melalui pelbagai aktiviti menarik seperti penyediaan dan sajian hidangan tradisional Malaysia serta pameran bahan promosi yang menampilkan keunikan dan kekuatan Malaysia dalam pelbagai aspek, termasuk pelancongan, pendidikan dan budaya. Aktiviti-aktiviti ini telah berjaya menarik perhatian ramai pengunjung, termasuk pelajar universiti dan komuniti setempat yang menunjukkan minat mendalam terhadap kebudayaan Malaysia.
Dalam masa yang sama, Konsulat turut mengambil peluang ini untuk memperkenalkan serta mempromosikan peranan aktif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025. Melalui pendekatan ini, Malaysia menegaskan komitmennya terhadap usaha memperkukuh perpaduan serantau, memperluas kerjasama yang inklusif serta mendorong pembangunan yang mampan dan seimbang dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

