Pada 24-25 Mei 2025, Majlis Perbandaran Wilayah Yala telah berjaya menganjurkan program tahunan "Malay Cloth Conservation Promotion Project 2025" (Pakaian Melayu), bertempat di Yala TK Park, Wilayah Yala, Thailand. Program berprestij ini turut disertai oleh Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Konsulat Republik Indonesia di Songkhla, serta para pereka fesyen tempatan. Berteraskan tema Pakaian Melayu, program ini berfungsi sebagai medium pemerkasaan budaya, pemangkin kepada ekonomi kreatif tekstil serantau, serta platform mencungkil bakat baharu dalam bidang rekaan fesyen masyarakat Melayu. Penganjuran kali ini merupakan edisi tahun keempat pelaksanaannya oleh pihak Majlis Perbandaran Wilayah Yala.
Penyertaan Cemerlang UiTM Cawangan Kelantan
Mewakili Malaysia, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan telah menghantar sebanyak 10 penyertaan dalam pertandingan fesyen yang berlangsung pada hari pertama. Tiga rekaan telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir meliputi Rekaan Batik (Digital Printing), Rekaan Batik (Kraftangan Tangan) serta Rekaan Aksesori Pakaian. Daripada keseluruhan pertandingan, UiTM Cawangan Kelantan telah mencatatkan kejayaan membanggakan dengan keputusan berikut:
- Tempat Kedua – Rekaan Batik (Kraftangan Tangan)
- Tempat Ketiga – Rekaan Batik (Digital Printing)
- Tempat Ketiga – Rekaan Aksesori Pakaian
Para pemenang juga telah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah THB 30,000.00, berserta cenderahati dan sijil penyertaan sebagai pengiktirafan kepada bakat dan usaha kreatif mereka.
Pameran & Pertunjukan Fesyen Memperkenal Malaysia
Selain itu, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla juga turut membuka ruang pameran batik Malaysia yang berjaya menarik perhatian pengunjung dalam mengenali keunikan seni tekstil dan budaya negara. Pada hari kedua, sebanyak 10 busana tradisional Melayu dari Malaysia telah diperagakan dalam pertunjukan fesyen yang berlangsung meriah dan dihadiri lebih 5,000 pengunjung termasuk ahli Fashion Academy of Thailand dari Bangkok.
Impak dan Signifikan Program
Program ini telah mendapat liputan meluas media tempatan dan berjaya mengangkat imej Malaysia di peringkat serantau menerusi keunikan budaya dan inovasi rekaan pelajar institusi pengajian tinggi. Kejayaan pelajar tahun akhir UiTM Kelantan membuktikan keunggulan pendidikan tinggi negara serta memperkenalkan keupayaan akademik Malaysia kepada masyarakat di Selatan Thailand. Secara keseluruhannya, "Malay Cloth Conservation Promotion Project 2025" telah mencapai objektif utama dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand melalui diplomasi budaya, di samping membuka potensi pasaran produk tekstil Malaysia di Selatan Thailand yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Melayu. Inisiatif ini juga seiring dengan aspirasi Malaysia Madani, yang mengutamakan pendekatan inklusif dan progresif dalam mengukuhkan keterhubungan serantau melalui nilai budaya, kreativiti, dan warisan bersama.
