Mission News

PROGRAM “THREE CORNERED ASEAN GAMES 2025”

10 November 2025 1 views

SONGKHLA, 1 November 2025 – Program tahunan “Three Cornered ASEAN Games 2025” telah berlangsung dengan jayanya di Sports Arena, Rajabhat University, Songkhla, anjuran Attarkiah Islamiah Institute, Wilayah Narathiwat, dengan kerjasama Konsulat Jeneral Malaysia dan Konsulat Republik Indonesia di Songkhla.

Acara sukan muhibah ini merupakan inisiatif tahunan yang dianjurkan secara bergilir antara tiga pihak berkenaan, sebagai platform memperkukuh hubungan diplomatik dan semangat persahabatan dalam kalangan komuniti ASEAN. Edisi tahun ini menyaksikan Attarkiah Islamiah Institute bertindak selaku tuan rumah dengan mempertandingkan acara bola tampar kategori lelaki dan wanita, melibatkan penyertaan pasukan daripada Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Konsulat Republik Indonesia di Songkhla, dan Attarkiah Islamiah Institute, Narathiwat.

Program dimulakan pada jam 8.00 pagi dengan ucapan alu-aluan oleh Encik Muhamad Danial Atif Nasiren, Konsul 1, yang mewakili Konsul Jeneral Malaysia. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama  melalui aktiviti sukan dan kebudayaan yang mampu menyemai semangat perpaduan ASEAN. Acara turut diserikan dengan sesi pertukaran cenderamata, pertandingan bola tampar, serta majlis penyampaian hadiah kepada pasukan pemenang. 

Penganjuran “Three Cornered ASEAN Games 2025” bukan sahaja berjaya memupuk hubungan muhibah dan jaringan strategik antara institusi terlibat, malah turut menyerlahkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh hubungan bersempena Pengerusi ASEAN 2025.

 

Share:
Link copied to clipboard
Back