Songkhla, 16 September 2025 – Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla telah menganjurkan Majlis Resepsi sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia 2025 bertempat di King's Ballroom, Hotel Laguna Grand & Spa, Songkhla pada hari Selasa, 16 September 2025 dari jam 3.00 petang hingga 6.00 petang.
Majlis bertemakan “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni” ini dihadiri seramai kira-kira 180 tetamu daripada 250 jemputan, terdiri daripada pemimpin tertinggi kerajaan tempatan di Selatan Thailand, ketua-ketua jabatan kerajaan tempatan, Kor Diplomatik serta Friends of Malaysia.
Dalam ucapannya, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla merakamkan penghargaan kepada semua tetamu yang hadir serta menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Thailand, khususnya kerajaan tempatan di Selatan Thailand, atas kerjasama erat yang sentiasa terjalin dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Beliau turut menekankan bahawa hubungan perdagangan antara kedua-dua negara telah mencatatkan nilai dagangan sebanyak RM114.50 bilion pada tahun 2024, dan pewujudan zon ekonomi khas di sempadan Malaysia–Thailand dijangka mampu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi dua hala.
Kerajaan Thailand diwakili oleh Lt. Kol. Wannapong Kotcharag, Setiausaha Agung Southern Border Provinces Administrative Centre (SBPAC), yang menyifatkan 16 September 1963 sebagai detik bersejarah dalam pembentukan Malaysia yang berbilang bangsa dan agama. Beliau turut memuji keharmonian rakyat Malaysia yang hidup bersatu padu dalam kepelbagaian budaya sebagai contoh yang boleh dicontohi oleh masyarakat di Selatan Thailand.
Bagi memeriahkan acara, Kelab Kebudayaan dan Kesenian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mempersembahkan tarian tradisional pelbagai kaum, sekali gus menyerikan suasana majlis dan memperkenalkan kepelbagaian budaya Malaysia kepada para tetamu.
Majlis ini bukan sahaja memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand, malah turut mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 serta kepengerusian Malaysia dalam ASEAN bagi tahun 2025. Para tetamu dari 14 wilayah Selatan Thailand yang hadir melahirkan rasa teruja kerana berpeluang menyertai acara tersebut dan bertemu secara langsung dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Secara keseluruhannya, majlis resepsi ini berjaya menaikkan imej Malaysia dalam kalangan pemimpin kerajaan dan masyarakat tempatan, di samping memperkukuh semangat persahabatan serta kerjasama diantara negara.

