Konsulat Jeneral Malaysia, Guangzhou telah menganjurkan satu Majlis Bersama Rakyat Malaysia pada 25 November 2011, Jam 7 malam bertempat di Hotel Shangri-La, Guangzhou. Seramai 30 rakyat Malaysia dari bandaraya-bandaraya Guangzhou, Foshan, Shenzhen telah dijemput hadir ke Majlis tersebut. Sambutan yang diberikan oleh rakyat Malaysia yang hadir amatlah baik dan telah merapatkan lagi hubungan mereka dengan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou. Turut hadir ke Majlis tersebut ialah Encik Oan Beng Khean (Konsul Penerangan/Penasihat kepada Persatuan Rakyat Malaysia Guangdong) dan Konsul Muda, Encik Mohd. Amran Md. Ali.
Gambar : Konsul Jeneral beramah-mesra dengan sebahagian rakyat Malaysia yang hadir.
Sewaktu Majlis tersebut, Konsul Jeneral Francisco Munis telah menyeru agar rakyat Malaysia dapat bersatu melalui Persatuan Rakyat Malaysia Guangdong dan memperkuatkan hubungan dan interaksi dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Guangzhou. Pada masa yang sama, kesemua hadirin telah bersepakat untuk berusaha memastikan Persatuan Rakyat Malaysia Guangdong akan terus aktif dan berjaya. Konsul Jeneral Francisco Munis juga menegaskan agar rakyat Malaysia terus dapat mengekalkan imej baik Malaysia di Selatan China.
Disamping itu, pelbagai soalan-soalan berkaitan Konsular juga telah dikemukakan oleh rakyat Malaysia yang hadir kepada Konsul Jeneral. Suasana Majlis amatlah meriah dan produktif. Rakyat Malaysia yang hadir dan pihak Konsulat Jeneral Malaysia berharap untuk dapat mengadakan sessi tersebut lagi di tahun hadapan dengan kesemua rakyat Malaysia yang bermastautin di Wilayah Guangdong, Republik Rakyat China.