Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Suva, Fiji telah mengadakan ”Majlis Bersama Rakyat Malaysia” pada hari Sabtu, 8 Ogos 2009 di Fiji Beach Resort & Spa, Denarau di Nadi, Fiji.


Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Suva, Fiji telah mengadakan ”Majlis Bersama Rakyat Malaysia” pada hari Sabtu, 8 Ogos 2009 di Fiji Beach Resort & Spa, Denarau di Nadi, Fiji. Majlis ini telah diadakan untuk satu hari sahaja setelah mengambil kira peruntukan yang diluluskan. Majlis bermula pada pukul 7.00 malam dan berakhir pada pukul 11.00 malam.
2. Lokasi tersebut dipilih kerana kebanyakan rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia tinggal di kawasan Nadi di mana kedudukannya adalah 3 jam perjalanan dari pusat bandar Suva.
3. Majlis ini diadakan untuk bertemu rakyat Malaysia yang dianggarkan berjumlah 40 orang menetap dan bekerja di Fiji. Majlis ini juga diadakan bagi memperkenalkan Pemangku Pesuruhjaya Tinggi dan Setiausaha Ketiga yang baru kepada rakyat Malaysia di sini. Majlis dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti dengan ucapan dari En Nor’Azam Mohd Idrus selaku Pemangku Pesuruhjaya Tinggi. Untuk mewujudkan suasana seperti di Malaysia, majlis makan malam juga telah diadakan di restoran Asia yang menyediakan masakan Malaysia.
4. Tujuan utama Malawakil Suva mengadakan majlis ini adalah untuk merapatkan lagi hubungan sesama rakyat Malaysia yang menetap di Fiji. Tambahan pula, majlis ini juga dapat mengekalkan serta menguatkan lagi hubungan di antara Suruhanjaya Tinggi Malaysia dengan rakyat Malaysia di Fiji. Di dalam ucapan beliau, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi mengalu-alukan kedatangan rakyat Malaysia yang hadir serta menawarkan segala bentuk bantuan dan pertolongan yang diperlukan oleh rakyat Malaysia.
5. Pemangku Pesuruhjaya Tinggi juga meminta rakyat Malaysia yang hadir dan masih belum mendaftar dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia agar berbuat sedemikian dengan segera. Beliau menambah dengan adanya maklumat yang terperinci dan tepat seperti alamat tempat tinggal dan nombor yang boleh dihubungi, pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan mudah berhubung dengan rakyat Malaysia sekiranya berlaku kes-kes kecemasan di Fiji. Disamping itu, pihak Suruhanjaya Tinggi juga dapat menghantar jemputan bagi perayaan-perayaan seperti sambutan Hari Keputeraan Agong, Hari Kebangsaan, Hari Raya Aidilfitri dan perayaan lain yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi.
6. Secara keseluruhannya, objektif program ini telah dapat dicapai dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia telah berjaya memberi penerangan mengenai isu-isu berkaitan Malaysia yang timbul pada masa sekarang, di samping dapat memberi peluang kepada pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia bertukar-tukar pendapat dan pandangan mengenai pelbagai isu. Majlis ini juga dapat merapatkan lagi perhubungan di antara rakyat Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Fiji memandangkan program seperti ini telah lama tidak diadakan. Mengikut rekod Malawakil, kali terakhir program ini diadakan adalah pada tahun 2004. Justeru itu, Malawakil bercadang untuk mengadakan program seperti ini setiap tahun supaya dapat mengemaskini data rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di Fiji, dan juga supaya Suruhanjaya Tinggi Malaysia dapat melaksanakan perkara-perkara yang telah diutarakan seperti di atas.