10 September 2024 – TYT Dato’ Shahril Effendi Abd Ghany, Duta Besar Malaysia ke Jepun, telah menyampaikan ucaptama bertajuk “Upaya Bahasa Melayu sebagai Bahasa Antarabangsa” semasa Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu kali ke-8 (PAMBM) bertempat di Tokyo University of Foreign Studies (TUFS). Persidangan ini turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md Amin bin Md Taff, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), YBrs. Prof. Madya Dr. Mazura @ Mastura Mohamad, serta Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI, YBrs. Prof. Dr. Toru Aoyama, Pengarah Eksekutif Tokyo University of Foreign Studies (TUFS) dan YBrs.Prof. Dr. Asako Shiohara, Timbalan Pengarah Institut Pengajian Bahasa dan Budaya Asia dan Afrika, TUFS.
Persidangan selama dua hari itu dianjurkan oleh Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, UPSI dengan kerjasama TUFS. Dengan tema “Kedinamikan Prospek Pengajian Melayu”, objektif persidangan ini adalah untuk mengangkat dan menyebarluas bidang Pengajian Melayu di peringkat antarabangsa. Sebanyak 51 makalah dibentangkan oleh peserta-peserta dari Malaysia, Singapura, Brunei dan Jepun semasa persidangan ini.