Pada 27 September 2017, Malawakil Astana telah menganjurkan Majlis Jamuan Makan Malam bersama Alumni MTCP yang telah dihoskan oleh TYT Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Ambassador Syed Bakri di Rumah Malaysia bermula jam 7:30 malam hingga 10:30 malam. Majlis tersebut telah dimeriahkan dengan kehadiran Alumni MTCP Kazakhstan yang merupakan bekas peserta pelbagai kursus MTCP sejak dari tahun 1999 dan kini mereka merupakan pegawai-pegawai kanan daripada pelbagai agensi Kerajaan Kazakhstan dan juga syarikat-syarikat swasta di Kazakhstan termasuk dengan kehadiran 2 orang Alumni terbaharu pada tahun ini.
Majlis yang dianjurkan pada kali ini bersifat lebih santai dengan tujuan utama Malawakil adalah untuk memperkenalkan Duta Besar yang baharu dan juga Pengerusi PERWAKILAN kepada Alumni MTCP disamping mengekalkan hubungan mesra di antara Malawakil dengan Alumni MTCP Kazakhstan. Secara tidak langsung juga, majlis seperti ini telah memberikan peluang untuk semua pihak untuk bertukar-tukar fikiran dan maklumat bagi memahami keperluan semasa, serta memberikan cadangan-cadangan untuk meningkatkan kualiti kursus-kursus MTCP yang ditawarkan. Semua tetamu yang hadir turut mengambil kesempatan untuk berkenal-kenalan serta beramah-mesra antara satu sama lain. Alumni juga turut dihidangkan dengan masakan “signature” dari Malaysia iaitu nasi lemak, pulut kuning, rendang daging, beehoon sup serta kuih-muih tradisional pada majlis makan malam ini hasil dari masakan oleh Puan Pengerusi PERWAKILAN Astana dan dibantu oleh ahli-ahli yang lain.
Pada masa yang sama, Duta Besar turut mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Kazakhstan kerana telah berjaya menganjurkan Astana World Expo 2017. Beliau turut menyatakan bahawa Astana World Expo telah menjadi satu platform yang baik dan telah membantu Malaysia menjana potensi perdagangan dan pelaburan bernilai sebanyak RM12.681 bilion (US$2.95 bilion) melalui 14 Memorandum Persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani oleh syarikat-syarikat Malaysia bersama rakan-rakan dagangan Kazakhstan disepanjang Expo tersebut berlangsung.