Buat kali ketiga, Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru telah mengadakan bengkel masakan bagi memperkenalkan serta berkongsi resipi masakan Malaysia kepada pelajar-pelajar kulinari dari Institut Latino, Lima. Program ini adalah anjuran bersama Kedutaan Besar Malaysia di Lima, Peru dan Dewan Bandaraya Lima, Peru. Lebih kurang 50 orang pelajar termasuk tenaga pengajar telah menyertai program ini.
Tiga (3) resipi telah dikongsikan iaitu kuih vadai, ayam masak lemak cili api serta kuih keria. Setiausaha Kedua, Puan Liyana binti Puasa dan Setiausaha Ketiga, Puan Lailatul Akmal binti Abd Rahman telah sudi memberi tunjuk ajar dalam demonstrasi masakan ini.
Semua peserta program memberi sambutan baik kepada masakan Malaysia dimana mereka dapati ianya mempunyai pelbagai citarasa yang enak dan juga baharu. Memandangkan bahan-bahan mentah bagi masakan Malaysia tersebut diatas mudah didapati di Peru, mereka teruja untuk mencuba memasak masakan Malaysia di rumah.