Konsul Jeneral Mohammad Azhar Mazlan telah mengadakan Rumah Terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri di kediaman rasmi beliau pada 2 Oktober lalu dari jam 1 hingga 5 petang. Para tetamu jemputan terdiri daripada pegawai Kerajaan Tempatan, diplomat asing, ahli perniagaan, wakil media, anggota 'Task Force Davao', pegawai imigresen, pemimpin dan masyarakat Islam tempatan, rakyat serta pelajar Malaysia di Davao City dan wilayah berdekatan.
2. Juadah istimewa nasi tomato, ayam masak merah, dalca, acar rampai, soto ayam dan begedil yang disediakan khas oleh ahli-ahli Perwakilan telah dijamukan. Biskut raya, diterbangkan khas dari Malaysia, turut disajikan. Buah durian, sebagai pencuci mulut, telah dinikmati oleh para tetamu. Davao City adalah 'Durian Capital' Filipina.
3. Majlis berjalan dengan lancar dan meriah di mana Konsul Jeneral telah mengambil kesempatan menerangkan mengenai konsep rumah terbuka di Malaysia dan Gagasan 1Malaysia kepada para tetamu. Tetamu, terutamanya rakyat Malaysia, telah berpeluang bertanya khabar dan bertukar-tukar berita dan maklumat sesama mereka.
Konsulat Jeneral Malaysia, Davao City
Republik Filipina
12 Oktober 2009