Konsul Cik Mardhiah telah mengiring Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Razarudin Husain bagi lawatan rasmi ke Balai Polis Gokturk yang terletak dalam daerah Eyupsultan, Republik Turkiye.
Ketibaan KPN sekitar jam 10.00 pagi waktu tempatan tadi disambut oleh Timbalan Ketua Polis Wilayah Istanbul Yang Menjaga Direktorat Cawangan Pendidikan dan Kepolisan Sokongan Masyarakat, Mr. Gurol Dikyol serta Ketua Polis Daerah Eyupsultan, Mr. Serdar Ors. Yang turut menyambut Tan Sri Razarudin bersama delegasi Polis Diraja Malaysia tadi ialah Ketua Balai Polis Gokturk, Mr. Osman Yetkin.
Seusai menandatangani buku pelawat, Tan Sri Razarudin telah diperkenalkan dengan pengurusan balai sebelum diberi “walking brief" berkenaan kejayaan dan pencapaian balai tersebut dalam mencegah jenayah serta pengurusan komuniti sejak penubuhannya.
Berucap dalam majlis tadi, Tan Sri Razarudin berharap agar hubungan dua hala yang sedia terjalin di antara Polis Diraja Malaysia dengan Polis Republik Turkiye dapat diperkukuhkan lagi di masa hadapan demi memerangi ancaman global yang kian kompleks.
“Saya amat berharap lawatan ini akan memupuk persefahaman bersama dan mengukuhkan kerjasama antara agensi penguatkuasa undang-undang kedua-dua negara kita.
“Ia menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam menangani cabaran bersama dalam keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang,” ujar KPN.


