Bulan Oktober setiap tahun akan disambut sebagai Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang juga dikenali sebagai Pink Oktober atau Pinktober. Sempena bulan ini, wakil Kedutaan Besar Malaysia di Havana telah menyertai sesi perkongsian berkenaan Kanser Payu Dara dan juga Kanser Prostat anjuran Duta Besar Surinam, selaku Pengerusi Semasa Komuniti Karibean (CARICOM) di Havana bertempat di Kediaman Rasmi beliau pada 15 Oktober 2024. Selain Malaysia, sesi berkenaan turut disertai oleh Duta-duta Besar CARICOM dan wakil-wakil Kedutaan Besar Argentina, Nigeria, Niger, Kenya dan sebagainya.
Sesi berkongsian berkenaan telah disampaikan oleh pakar-pakar perubatan dari Hospital Cira Garcia. Penekanan turut diberikan ke atas kepentingan untuk membuat pemeriksaan kendiri secara bulanan dan untuk merujuk kepada pakar perubatan sesegera mungkin tanpa bertangguh.
Program sebegini secara tidak langsung dapat mendidik dan meningkatkan kesedaran para tetamu berkenaan kanser payudara di kalangan kaum Adam dan Hawa, dan kanser prostat serta langkah-langkah pencegahannya.


