Mission News

Announcements

20 January 2010 1 views

 

 

KEDUTAAN BESAR MALAYSIA

KAHERAH

 

GARIS PANDUAN KESELAMATAN BIL. 1 TAHUN 2016

KEPADA WARGANEGARA MALAYSIA DI REPUBLIK ARAB MESIR

 

1.         MAKLUMAT AM

 

1.1         Garis Panduan Keselamatan Bilangan 1 Tahun 2016 ini dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) kepada semua warganegara Malaysia di Mesir bagi menghadapi kemungkinan berlakunya siri serangan puak militan, protes jalanan dan provokasi menjelang 25 Januari 2016 sempena Ulang Tahun ke-5 Kejatuhan Bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak. Sejak kebelakangan ini, pola serangan dilihat semakin meningkat di mana beberapa insiden yang mensasarkan pihak keselamatan Mesir, pusat tumpuan orang ramai dan fasiliti kerajaan telah dilakukan oleh pihak militan dan penentang kerajaan. Antaranya adalah serangan yang mensasarkan pelancong asing di Piramid, Giza pada 7 Januari 2016 dan serangan di Bella Vista Resort, Hurghada pada 9 Januari 2016.

 

1.2         Berikutan insiden-insiden tersebut, kerjasama tuan/ puan adalah dipohon untuk meningkatkan langkah-langkah keselamatan peribadi dan tempat tinggal (berkuatkuasa serta merta). Ancaman keganasan ini merupakan antara usaha puak militan bagi menggugat kestabilan politik dan ekonomi Mesir.

 

1.3         Lawatan ke utara Semenanjung Sinai adalah dilarang sama sekali manakala kawasan tumpuan pelancong yang mungkin menjadi sasaran seperti Sharm Al-Syeikh, Hurghada, Dahab dan Bahariya juga dinasihat untuk dielakkan. Kawasan-kawasan panas seperti Giza, Downtown, Dataran Tahrir dan El Haram Street turut dikenal pasti sebagai medan pergerakan utama puak militan yang perlu dielakkan. Selain itu, kawasan-kawasan lain yang perlu dijauhi adalah berhampiran entiti-entiti keselamatan Mesir yang turut menjadi sasaran utama serangan puak militan.

 

1.4         Tuan/ puan turut dinasihatkan untuk lebih berhati-hati ketika mengunjungi restoran-restoran milikan syarikat asing seperti Kentucky Fried Chicken (KFC), McDonald, Costa Coffee dan seumpamanya yang berkemungkinan menjadi sasaran serangan pihak militan.

 

2.            LANGKAH-LANGKAH KESELAMATAN

 

2.1.        Menghadkan perjalanan yang tidak penting dalam masa terdekat, melainkan jika benar-benar perlu terutamanya mereka yang masih menantikan kelulusan visa bekerja / belajar di Mesir;

 

2.2.        Sebarang perjalanan ke lokasi pelancongan perlulah dimaklumkan kepada pegawai-pegawai Kedutaan Besar Malaysia Kaherah, Education Malaysia Egypt atau Atase Pendidikan Negeri masing-masing. Dokumen pengenalan diri dan Pasport Antarabangsa dengan visa yang sah perlu dibawa bersama-sama pada setiap waktu;

 

2.3.        Memastikan lesen yang sah dibawa bersama bagi sebarang pergerakan yang melibatkan kenderaan (motorsikal/ kereta);

 

2.4.        Warganegara Malaysia yang bercadang mengadakan lawatan ke Mesir dinasihatkan untuk memaklumkan kehadiran mereka kepada Kedutaan Besar Malaysia Kaherah;

 

2.5.        Menghindari kawasan tumpuan perhimpunan dan tunjuk perasaan;

 

2.6.        Tidak melibatkan diri dalam sebarang jenis perhimpunan atau tunjuk perasaan;

2.7.        Berjalan secara berkumpulan (sekurang-kurangnya tiga orang) terutamanya pada waktu malam;

 

2.8.        Mengelak diri daripada memberi sebarang komen, ulasan atau memaparkan sebarang simbol mengenai politik dalaman Mesir kepada mana-mana individu atau organisasi, termasuk melalui facebook, twitter, blog dan laman media sosial yang lain.  Kerajaan Malaysia mengamalkan dasar tidak campur tangan di dalam urusan dan hal ehwal mana-mana negara (non-interference policy);

 

2.9.        Tidak membawa sebarang bahan bacaan mengenai situasi politik di Mesir, termasuk bahan-bahan bacaan yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu;

 

2.10.     Semua warganegara Malaysia yang berada di Mesir dinasihatkan supaya mendaftar dan sentiasa mengemaskini butiran diri dengan Unit Konsular, Kedutaan Besar Malaysia Kaherah melalui salah satu daripada kaedah berikut:

 

2.9.1   mengirim emel dengan menyertakan butir-butir peribadi dan            alamat perhubungan kepada alamat emel mwcairo@kln.gov.my;

 

2.9.2   menghubungi Kedutaan Besar Malaysia Kaherah pada waktu pejabat di nombor telefon (002) 02 3761 0013 (Encik Ahmed el Wassiff, Unit Konsular Kedutaan Besar Malaysia Kaherah).

 

2.10      Bagi pelajar Malaysia yang berada di Mesir, sila daftarkan diri anda di laman web Pejabat Education Malaysia Egypt www.emegypt.net. Pejabat Education Malaysia Egypt juga boleh dihubungi di alamat emel admin@emegypt.net dan www.facebook/eme.net.eg.

 

2.11      Kerjasama tuan/ puan juga adalah dipohon untuk mengikuti laman facebook Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah di www.facebook.com/malcairo bagi mendapatkan nasihat/ panduan keselamatan dari semasa ke semasa.

 

2.12      Kerjasama tuan/ puan juga adalah dipohon untuk memaklumkan kepada mana-mana pegawai Kedutaan melalui telefon, emel, whatsapp dan sebagainya, termasuk berkongsi pengalaman / pemerhatian tuan / puan mengenai keadaan semasa sekiranya tuan/ puan secara tidak sengaja berada di lokasi kekacauan/ demonstrasi berkenaan.

 

Kedutaan Besar Malaysia

Kaherah

20 Januari 2016

 

 

Share:
Link copied to clipboard
Back