Mission News

KENYATAAN MENGENAI PERMASALAHAN PELAJAR QIRAAT 2015/ 2016

03 February 2016 1 views

KENYATAAN MENGENAI PERMASALAHAN PELAJAR QIRAAT 2015/ 2016

 

Untuk makluman tuan/ puan, pendaftaran seramai 138 pelajar pengajian Qiraat (termasuk 103 orang pelajar lepasan Darul Quran JAKIM) untuk sesi 2015/ 2016 di Maahad Qiraat Syubra dan Mansoura telah ditolak oleh institusi Al-Azhar. 

 

2.            Lantaran itu, satu pertemuan antara Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dengan semua pelajar terlibat telah diadakan pada 31 Januari 2016 (Ahad) di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) bagi memberi penjelasan mengenai punca penolakan pendaftaran tersebut, seperti berikut:

 

(i)            Borang permohonan daripada pelajar-pelajar Qiraat tidak lengkap/ lambat dihantar kepada pihak Education Malaysia Egypt (EME).  Antara lain, keputusan pemeriksaan kesihatan dari hospital di Mesir (ujian darah); visa yang masih belum tamat tempoh serta salinan pasport dan muka surat yang telah dicop masuk oleh Imigresen Mesir di lapangan terbang.

 

Pihak EME cuba mendaftarkan fail 138 pelajar pada 11 Oktober 2015 di Idarah Wafidin walaupun fail pelajar tidak lengkap, memandangkan tarikh tutup pendaftaran adalah pada 31 Oktober 2015.  Namun demikian, pendaftaran telah ditolak memandangkan sebahagian fail tidak lengkap.

 

(ii)          Fail pelajar yang perlu dikumpul dan dihantar secara pukal ke pejabat hal ehwal pelajar antarabangsa (Idarah Wafidin) Al-Azhar.  Pihak Idarah Wafidin tidak menerima pendaftaran fail pelajar antarabangsa secara berperingkat-peringkat, sebagaimana amalan tahun-tahun sebelumnya.

 

(iii)         Pengenalan syarat-syarat baharu oleh Al-Azhar tanpa sebaran makluman kepada pihak awam/ kedutaan.  Semasa penghantaran fail pelajar pada 11 Oktober 2015, pihak Idarah Wafidin memaklumkan bahawa setiap pelajar perlu mempunyai “visa pelajar” yang sah.  Namun demikian, persoalan ditimbulkan oleh KBMK bagaimana “visa pelajar” hendak diproses sedangkan mereka belum berdaftar sebagai pelajar Al-Azhar.  Sebelum ini, proses pendaftaran hanya menggunakan visa pelancong.

 

Setelah tekanan dari KBMK dan kedutaan-kedutaan lain (Brunei, Singapura), Pengarah Idarah Wafidin memaklumkan bahawa visa pelancong boleh diterima untuk proses kemasukan dan bukan visa pelajar (ekoran arahan Syeikhul Azhar) pada 26 Oktober 2015.

           

Namun demikian, ada pula sebilangan pelajar yang telah tamat tempoh visa dan perlu menghidupkan semula visa mereka (hanya menggunakan Visa on Arrival (VOA) yang mempunyai tempoh sah laku selama dua minggu dan tidak mendapatkan visa 3 bulan dari Kedutaan Besar Mesir di Kuala Lumpur).  Dalam hal ini, pihak EME telah menghubungi dan memaklumkan pelajar-pelajar berkenaan untuk memperbaharui visa mereka secepat mungkin.

 

3.            Untuk makluman, semua dokumen permohonan pendaftaran pelajar yang lengkap telah dihantar kepada pihak Idarah Wafidin pada 12 November 2015.  Malangnya, permohonan pendaftaran ditolak kerana lewat dari tarikh tutup iaitu 31 Oktober 2015.  Berdasarkan amalan pada tahun-tahun sebelumnya, KBMK dibenar untuk mendaftar pelajar-pelajar sehingga akhir tahun (bulan Disember), dengan disertakan surat rayuan.  Namun demikian, Idarah Wafidin tidak langsung memberi sebarang kemudahan atau fleksibiliti serta terus berkeras mengenai tarikh tutup pendaftaran.

 

4.            Perkara ini menjadi kejutan bukan sahaja bagi pelajar-pelajar antarabangsa dari Malaysia malah dari negara-negara lain.  Sebelum ini, isu fail tidak pernah menjadi penghalang kepada pelajar untuk mengikuti kelas pengajian di Al-Azhar walaupun fail mereka belum dan sedang diproses. 

 

5.            Sehubungan itu, TYT Duta Besar Malaysia ke Republik Arab Mesir telah menulis surat rayuan kepada Syeikh Abbas Syuman, Timbalan Syeikhul Azhar pada 22 November 2015.  Satu delegasi KBMK turut menemui beliau pada 10 Disember 2015.  TYT Duta Besar juga telah menulis surat rayuan kepada Syeikhul Azhar dan diikuti dengan kunjungan hormat ke atas beliau pada 12 Januari 2016 bagi merayu agar ke semua 138 pelajar pengajian Qiraat tersebut diterima masuk ke Maahad Qiraat Syoubra dan Mansoura.  Rayuan TYT Duta Besar telah ditolak atas alasan-alasan berikut:

 

(i)            Kemasukan pelajar-pelajar asing ke Mesir terutamanya ke Al-Azhar dipantau dengan rapi ekoran terdapat unsur-unsur militan dan ekstemis di kalangan pelajar yang boleh mengancam keselamatan negara Mesir.  Sebagaimana semua sedia maklum, Malaysia terutamanya sering dilihat sebagai sebuah negara yang bersimpati dengan perjuangan Ikhwan Muslimin.  Malaysia juga telah disenaraikan oleh Kementerian Dalam Negeri Mesir di antara 25 buah negara yang diawasi dari segi keselamatan.

 

(ii)          Pada tahun 2015 juga, seramai 221 pelajar Malaysia telah dibuang dari Maahad di bawah kendalian Al-Azhar kerana didapati tidak menghadiri kelas, yang telah menimbulkan keraguan ke atas aktiviti-aktiviti mereka di Mesir.

 

(iii)         Ekoran itu, wujudnya syarat-syarat baharu kemasukan pelajar-pelajar asing ke Al-Azhar bagi sesi 2015/ 2016 yang diperkenalkan oleh pihak Al-Azhar yang dilihat berkait rapat dengan isu keselamatan.

 

Namun demikian, Syeikhul Azhar bersetuju agar 138 pelajar berkenaan didaftarkan pada sesi berikutnya iaitu sesi 2016/ 2017. 

 

6.            Berikutan itu, beberapa syor telah dicadangkan kepada semua 138 pelajar Qiraat seperti berikut:

 

(i)            Agar pelajar pulang ke Malaysia dan datang semula ke Mesir bagi pendaftaran pengajian Qiraat sesi 2016/ 2017.

 

(ii)          Agar pelajar menyertai Kursus Bahasa Arab di bawah Ruwad Al-Azhar secara percuma untuk tempoh 3 jam sehari selama 4 bulan.

 

(iii)         Agar pelajar menyertai Kursus Bahasa Arab di Pusat Bahasa Arab (Markaz Al Lughah Syeikh Zayed) Rabitah Al-Azhar, dengan jumlah keseluruhan bayaran bagi 7 bulan pengajian sebanyak USD2,290.00.  (Peperiksaan penentuan tahap pencapaian USD50.00. Yuran pengajian sebanyak USD4.00 x 1 jam kredit bersamaan USD320.00 sebulan -- USD50.00 + USD320 x 7 bulan = USD2,290.00)

 

7.            Dalam hal ini, pihak EME sedang mengumpul data mengenai pilihan pelajar-pelajar tersebut sehingga 4 Februari 2016 (Khamis).   Lanjutan itu, TYT Duta Besar akan merayu kepada Syeikhul Azhar agar pelajar-pelajar yang berminat untuk menyertai sama ada kursus bahasa Arab yang dikendalikan oleh Ruwad Al-Azhar atau Rabitah diberi kelonggaran untuk memohon visa pelajar semasa pengajian mereka di Mesir.  TYT Duta Besar juga akan merujuk semula janji Syeikhul Azhar untuk membenarkan pendaftaran 138 pelajar berkenaan bagi sesi 2016/ 2017, termasuk tambahan pelajar-pelajar Qiraat baharu dari Malaysia.

 

8.            Dalam hal ini juga, bagi mengelakkan masalah yang sama daripada berulang pada masa akan datang, KBMK mohon mengesyorkan agar pelajar-pelajar Qiraat yang ingin meneruskan pengajian mereka di Al-Azhar untuk berada atau tiba di Mesir sekurang-kurangnya pada minggu terakhir bulan Jun setiap tahun.  Ini bagi memberi lebih ruang dan masa kepada pihak EME memproses fail pelajar (termasuk lebih 1000 orang pelajar STAM setiap tahun) dan kepada pelajar Qiraat yang perlu menyiapkan proses dokumentasi pendaftaran termasuk pemeriksaan kesihatan dari hospital di Mesir.

 

 

Kedutaan Besar Malaysia Kaherah

3 Februari 2016

Share:
Link copied to clipboard
Back