Mission News

Kerajaan Mahu Lebih Banyak Syarikat Terokai Mesir

22 December 2009 1 views

 


Kerajaan Mahu Lebih Banyak Syarikat Terokai Mesir

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kerajaan mahu melihat lebih banyak syarikat Malaysia meneroka prospek pelaburan di Mesir, terutama dalam enam industri penting yang dipromosikan oleh kerajaan Mesir, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Katanya, kerajaan akan menyediakan insentif bagi memudahkan syarikat menceburi sektor prasarana, logistik dan perkapalan, automotif, minyak dan gas, elektrik dan elektronik, komunikasi dan teknologi maklumat.

Insentif itu termasuk pengurangan cukai ke atas pendapatan diterima dari luar negara dan pengiriman wang kembali ke Malaysia, potongan cukai bagi perbelanjaan perniagaan prapengoperasian berkaitan cadangan untuk menjalankan pelaburan dalam janji niaga di luar negara dan potongan cukai ke atas pengambilalihan syarikat asing di luar negara.

"Saya mencadangkan syarikat Malaysia mengkaji pelbagai langkah oleh kerajaan Mesir bagi menarik pelaburan seperti dekri pada Februari bertujuan mengurangkan kos menubuhkan syarikat di Mesir," katanya dalam ucaptama pada seminar bertajuk Menjalankan Perniagaan dan Peluang Pelaburan di Mesir.

Turut hadir ialah Menteri Pelaburan Mesir Dr. Mahmoud Mohie Eldin; Duta Besar Mesir ke Malaysia, Hani Abdel Kader Ahmed Shash; dan Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Datuk Jalilah Baba.

Muhyiddin berkata, Malaysia melihat Mesir sebagai rakan dagangan dan pelaburannya.

Walaupun tahap perdagangan antara kedua-dua negara dalam arah aliran meningkat, katanya, masih terdapat banyak ruang untuk diperkembangkan lagi.

"Perdagangan antara Mesir dan Malaysia mewakili peratusan kecil daripada jumlah dagangan masing-masing," katanya.

"Dagangan Malaysia dengan Mesir mewakili hanya 0.2 peratus daripada jumlah dagangan Malaysia pada 2007 dan bagi Mesir, saya percaya ia sama kecilnya.

"Saya percaya lebih banyak lagi yang kami boleh lakukan untuk mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan sedia ada antara kedua-dua negara," katanya.

Kata Muhyiddin, Malaysia dan Mesir boleh meneroka kekuatan yang dimiliki masing-masing bagi meningkatkan lagi kerjasama perdagangan dan pelaburan.

Bagi mempercepatkan kewujudan kerjasama Malaysia-Mesir, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani oleh MIDA, Pihak Berkuasa Am untuk Pelaburan dan Zon Bebas (GAFI) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Industri (IDA) hari ini.

MoU itu antara lain bertujuan memberi tumpuan terhadap cara untuk meningkatkan dagangan dua hala Malaysia-Mesir dan pertukaran maklumat tentang bidang pelaburan berpotensi masing-masing.

Jalilah menandatangani MoU itu bagi pihak MIDA manakala GAFI diwakili Naib Pengerusinya, Neveen Omran El Shafei dan IDA oleh Timbalan Pengerusinya, Ashraf Dowidar.

- BERNAMA

Share:
Link copied to clipboard
Back