Pada 4 Mei 2024, Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Accra (STM Accra) telah mengadakan Rumah terbuka Aidilfitri di pejabat STM. Sebahagian besar rakyat Malaysia yang berada di Ghana datang bersama ahli keluarga dan anak-anak mereka bagi menghadiri sambutan ini. Selain itu, STM Accra juga telah menjemput enam (6) Friends of Malaysia (FOM) dari pelbagai latar belakang syarikat yang berkepentıngan dalam meningkatkan hubungan dua hala untuk turut bersama-sama memeriahkan dan untuk merasai suasana Rumah Terbuka Aidilfitri 2024.
Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri ini telah berjaya mengeratkan silaturahim antara rakyat Malaysia baik yang baru tiba di Ghana dan yang telah lama menetap disini. Pelbagai pengalaman dan pengajaran dikongsi bersama antara satu sama lain. Selain itu, FOM juga berkongsi pengalaman berkenaan syarikat mereka bagi yang ingin memulakan pemiagaan di Republik Ghana atau yang mahu terlibat secara langsung dalam mempromosikan produk-produk Malaysia di rantau Afrika Barat.Sehubungan itu, hebahan dan maklumat program ini juga telah di muat naik ke media sosial STM Accra. Acara kali ini telah mendapat pujian dari warga Malaysia kerana membawa kelainan dari Acara sambutan sebelum ini dan telah menyatakan sokongan mereka untuk hadir pada acara lain anjuran STM Accra. Mereka juga berbesar hati untuk memberi kerjasama dalam menjayakan program-program anjuran STM Accra di masa akan datang.


