Sempena Bulan Bahasa Malaysia pada Oktober 2016, Kedutaan Besar Malaysia di Peru dengan kerjasama Majlis Perbandaran Lima telah mengadakan kelas Bahasa Malaysia kepada anak-anak muda Peru. Tujuan utama kelas ini adalah memperkenalkan bahasa rasmi rakyat Malaysia kepada rakyat Peru. Kelas bahasa ini telah diadakan pada 26 Oktober 2016 di Colegio Mayor Secundario “Presidente del Peru” sebagai sebahagian dari aktiviti mempromosi kebudayaan dan kesenian Malaysia di Peru selaras dengan program “Muni Becas”.
Wakil Kedutaan telah mengadakan kelas asas Bahasa Malaysia kepada pelajar-pelajar sekolah tersebut. Kelas dimulakan selepas sesi pengenalan mengenai Malaysia kelas Bahasa Malaysia dimulakan. Pada akhir kelas, pelajar-pelajar juga turut belajar menyanyi lagu ‘Rasa Sayang Hey’ serta sesi tunjuk ajar permainan congkak.
Pengetua sekolah amat berbesar hati dengan impak pencapaian program seumpama ini kepada pembelajaran murid-muridnya. Ia merupakan program pertama anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Peru yang melibatkan promosi kebudayaan dan kesenian Malaysia di peringkat sekolah. Melalui program seumpama ini, adalah diharapkan agar Bahasa Malaysia dapat terus dikembangkan di Peru.