Mission News

KENYATAAN BERSAMA NEGARA-NEGARA YANG DIWAKILI DALAM JOINT INVESTIGATION TEAM (JIT) BERKAITAN TRAGEDI MH17 NEW YORK, 20 SEPTEMBER 2016

21 September 2016 1 views

KENYATAAN BERSAMA NEGARA-NEGARA YANG DIWAKILI DALAM JOINT INVESTIGATION TEAM (JIT) BERKAITAN TRAGEDI MH17

 

NEW YORK, 20 SEPTEMBER 2016

 

Pada 20 September 2016, Menteri-menteri Luar Negeri Australia, Belgium, Malaysia, Ukraine dan Belanda telah mengadakan mesyuarat di New York bagi membincangkan usaha-usaha untuk membawa pihak yang bertanggungjawab ke atas tragedi MH17, yang mengorbankan nyawa 298 orang pada 17 Julai 2014, ke muka pengadilan. Menteri-menteri berkenaan mewakili negara-negara yang menjalin kerjasama bagi menjalankan siasatan jenayah mengenai MH17, selaras dengan Resolusi 2166 (2014) oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

 

Di dalam mesyuarat tersebut, Menteri-menteri Luar Negeri berkenaan mengulangi seruan oleh Majlis Keselamatan PBB, di dalam Resolusi 2166, dan komitmen Kerajaan masing-masing, agar pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. Mereka juga merujuk kepada tuntutan oleh Majlis Keselamatan PBB agar semua Negara-negara Ahli PBB memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan akauntabiliti ke atas insiden ini.

 

Sehubungan ini, Menteri-menteri Luar Negeri berkenaan menyatakan sokongan penuh mereka ke atas penyiasatan antarabangsa dan bebas yang dijalankan oleh JIT, di mana laporan interim mengenai hasil siasatan tersebut akan dibentangkan pada 28 September.

 

Menteri-menteri Luar Negeri berkenaan juga telah membincangkan kemajuan yang dicapai bagi menentukan mekanisme pendakwaan, memandangkan usaha untuk menubuhkan Tribunal PBB telah diveto di Majlis Keselamatan PBB pada Julai 2015. Negara-negara yang diwakili dalam JIT kekal di dalam komitmen mereka untuk mengambil langkah-langkah efektif bagi membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan, bagi memastikan keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka.

 

PUTRAJAYA

 

21 SEPTEMBER 2016

 

 

 

 

Share:
Link copied to clipboard
Back